
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berhasrat untuk membangunkan infrastruktur digital dan pusat pengkomputeran dan pemprosesan data berprestasi tinggi di negara ini selaras dengan matlamat disasarkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek berkata pembangunan itu harus menyasarkan untuk menggabungkan lebihan kapasiti pusat data serta memberi perkhidmatan pemprosesan kemudahan-kemudahan data dan kapasiti pengkomputeran awan.
Ini kerana katanya, semakin banyak negara serta sektor ekonomi melaksanakan transformasi digital manakala pergerakan aliran data pula dilihat semakin pantas dan akan terus berkembang.
“Sepertimana perniagaan dapat meneroka pasaran baharu ke luar negara, aliran data kini jauh melangkaui batas sempadan sesebuah negara, menyebabkan wujud kebimbangan mengenai potensi bahaya aliran data seperti kebocoran data peribadi dan sebagainya.
“Justeru, adalah penting bagi kerajaan untuk memperkenalkan tapisan atau dasar tertentu bagi memastikan aliran data ini dapat dikawal selia bagi memelihara kepentingan dan kedaulatan negara dan pada masa sama membenarkan aliran data dilakukan dengan selamat,” katanya ketika berucap merasmikan webinar maya bertajuk Digital Age: Embracing Technology, Preserving Data Sovereignty hari ini.
Mohammad berkata di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerajaan sudahpun mempunyai beberapa dasar untuk memperlihatkan komitmennya dalam memelihara kedaulatan data dan keselamatan ruang siber iaitu Matlamat Dasar Kebangsaan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP) 2006; selain Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
Katanya, semua dasar tersebut merangkumi rangka kerja rentas sektor yang komprehensif untuk melindungi data peribadi dalam transaksi komersial dan memainkan peranan penting dalam membantu syarikat menangani isu kedaulatan data serta pada masa sama memastikan keselamatan maklumat, kebolehpercayaan dan integriti rangkaian, serta infrastruktur selamat dan berdaya tahan.
Di peringkat antarabangsa pula, Mohammad menegaskan kerajaan akan bergerak secara aktif untuk membina konsensus antarabangsa dalam isu itu selain turut mengakui terdapat keperluan untuk mewujudkan kerjasama awam-swasta di negara ini bagi proses pembangunan infrastruktur digital serta pusat pengkomputeran dan pemprosesan data.
“Agenda kerjasama harus berkisar kepada kepentingan bersama dalam bidang seperti perlindungan data peribadi, penggunaan data terbuka dan keupayaan untuk berurus niaga secara digital, dengan cara saling menguntungkan dengan manfaat yang jelas kerana ini akan memacu pertumbuhan perdagangan digital,” katanya.
Sumber: BERNAMA