Posted on: 13/05/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Strategi Pengurangan Garam 2021-2025 dilancarkan semalam dengan  memfokuskan penglibatan  pihak industri makanan dan minuman untuk melakukan reformulasi produk ke arah kandungan garam yang lebih sihat, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagi menjayakan usaha tersebut, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pihak universiti sedang menjalankan kajian dikenali sebagai ‘Resolve Project’ bagi mengurangkan kandungan garam dalam produk kicap.

“Beberapa syarikat pengeluar kicap telah memberikan komitmen mereka untuk menyertai kajian ini dan diharap lebih banyak syarikat turut bertindak proaktif dengan melakukan reformulasi produk lain yang juga tinggi kandungan garam,” katanya ketika berucap melancarkan strategi itu di sini semalam.

Selain tindakan sukarela pihak industri untuk melaksanakan reformulasi produk, KKM juga perlu mengambil langkah drastik dalam mengawal kandungan garam dengan memperkenalkan had maksimum mandatori kandungan garam bagi produk makanan tertentu melalui pindaan Akta Makanan 1983 yang dijangka selesai sebelum 2025, katanya.

Kajian pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia pada 2019 mendapati purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.9 gram sehari atau 1.6 sudu teh, melebihi saranan iaitu kurang daripada 5.0 gram sehari.

Antara jenis makanan yang paling kerap dimakan dan menjadi penyumbang kepada pengambilan garam yang tinggi adalah sayur-sayuran bergoreng, telur dadar, mi goreng dan roti canai, katanya.

Dr Noor Azmi berkata strategi itu juga bertujuan meningkatkan tahap kesedaran berkaitan pengambilan garam dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Pengurangan pengambilan garam merupakan satu daripada intervensi utama yang kos efektif dalam pencegahan dan pengawalan NCD terutamanya hipertensi.

“Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan tiga daripada 10 penduduk atau 6.4 juta penduduk dewasa di Malaysia merupakan penghidap hipertensi,” katanya.

Strategi Pengurangan Garam 2021-2025 akan dilaksanakan melalui MAP, iaitu Monitoring, Awareness dan Product yang melibatkan kerjasama rentas agensi dan pihak berkepentingan termasuk pengeluar produk.

Sumber: BERNAMA