Posted on: 18/05/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Melaka telah meluluskan geran Malaysian Incentive Community Empowerment (MyICE) kepada 23 persatuan melibatkan peruntukan berjumlah RM230,000.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri V.P Shanmugam setiap persatuan berkenaan menerima geran MyICE berjumlah RM10,000 bagi melaksanakan program bersesuaian dengan kategori persatuan mereka yang didaftarkan di bawah RoS.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan daripada 21 persatuan yang telah pun disyorkan lulus oleh jawatankuasa RoS.

“Secara keseluruhan, pada tahun ini RoS Melaka menerima peruntukan sebanyak RM1 juta untuk diagihkan kepada persatuan yang berdaftar di bawah jabatan itu melibatkan empat kategori persatuan iaitu kebajikan, keselamatan, sosial dan hak asasi.

“Bagaimanapun, setakat ini RoS Melaka hanya menerima sebanyak 70 permohonan dan 44 daripadanya telah disyorkan lulus, manakala 19 lagi di peringkat penelitian dan tujuh lagi permohonan telah ditolak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup taklimat geran MyICE serta majlis penyampaian replika cek geran yang turut dihadiri Pengarah RoS Melaka Nurhafidah Ali.

Katanya persatuan yang belum membuat permohonan diseru supaya segera berbuat demikian sebelum 31 Mei ini.

Sumber: BERNAMA