Posted on: 20/05/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan Selangor menetapkan lima dasar berkaitan pengoperasian kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di negeri itu bagi mengelak pencemaran.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata penetapan dasar tersebut diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 12/2022 pada 11 Mei lepas.

Beliau berkata hasil persetujuan mesyuarat tersebut, pengimportan sisa plastik kitar semula bagi tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan akhir semua kilang yang menjalankan proses kitar semula plastik tidak dibenarkan.

“Lesen perniagaan baharu bagi kilang-kilang plastik kitar semula tidak akan dipertimbangkan dan diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, semakan semula setiap lima tahun perlu dibuat bagi permohonan lesen perniagaan baharu kilang-kilang plastik kitar semula. Kilang-kilang sedia ada yang mempunyai lesen perniagaan yang sah boleh terus beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat Jawatankuasa Teknikal Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA), PBT dan syarat-syarat tambahan lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hee berkata Jabatan Alam Sekitar dan PBT juga hendaklah melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti bagi memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi.

Beliau berkata mesyuarat tersebut turut bersetuju menolak permohonan lesen sementara dan penyambungan bekalan elektrik bagi sebuah syarikat yang menjalankan operasi memproses sisa plastik kitar semula di Sepang.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira aduan penduduk dan hasil siasatan yang dijalankan serta kesan sisa plastik ke atas ekosistem dan kesejahteraan masyarakat di Selangor.

“Pelaksanaan larangan ini juga adalah susulan daripada isu pencemaran yang kerap berlaku dan aduan lambakan sisa plastik akibat pengurusan sisanya yang tidak terkawal dan tidak diurus dengan baik. Peningkatan import sisa plastik ke Malaysia oleh kilang dan premis tanpa had juga merupakan punca utama berlakunya pencemaran,” katanya.

Sumber: BERNAMA