
Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) akan diadakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus pada 2 hingga 4 Jun depan.
Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan negeri itu menjadi destinasi keempat selepas Johor, Perlis serta Sabah dan pada penganjuran kali ini, Kementerian Pendidikan dipilih sebagai kementerian peneraju bagi pengisian program dengan fokus utama ‘Keluarga Malaysia Keluarga Berilmu’.
Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut kenyataan itu, objektif program berkenaan adalah bagi memastikan rakyat di semua peringkat dapat memahami dan menghayati konsep AKM dengan lebih jelas, yang menitikberatkan ‘keterangkuman’, ‘kebersamaan’ dan ‘kesyukuran’.
“Ia selaras dengan manifestasi usaha dan komitmen kerajaan dalam memenuhi kehendak serta keperluan rakyat.
“Selain itu, Jelajah AKM mampu menyampaikan perancangan dan kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan di peringkat negeri sepanjang 2021 dan 2022 dan pada masa sama, ia dapat mengetengahkan penglibatan kerajaan negeri dalam perancangan dan pencapaian kerajaan,” menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA