Posted on: 26/05/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi  (MEXT) Jepun telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) yang akan memberi manfaat kepada golongan belia di kedua-dua negara.

KBS dalam satu kenyataan memaklumkan  MoC itu,  yang ditandatangani selasa lepas, antara lain  melibatkan  program pertukaran belia, pendidikan kemahiran dan kepimpinan belia, selain pemindahan kepakaran dan perkongsian teknologi.

MoC tersebut juga meliputi pembentukan program-program yang mengeratkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara.

“Antara program yang direncanakan termasuk Program Malaysia Future Leaders School (MFLS); Ship for Southeast Asian and Japanese Youth Program (SSYEAP); program pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan serta penganjuran perlawanan persahabatan termasuk sukan elektronik,” menurut kenyataan itu.

Majlis pemeteraian MoC tersebut lebih bermakna apabila  diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang telah dilancarkan negara pada 1982.

Menurut kenyataan itu, belia hari ini merupakan golongan yang bakal mencorakkan landskap hubungan diplomasi Malaysia-Jepun pada masa akan datang.

“Hubungan diplomasi antara kedua-dua negara yang terbina kukuh sejak 65 tahun yang lalu amat signifikan kepada pembentukan dasar dan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA