Posted on: 31/05/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi memperkasa dan memperkukuh pembangunan komuniti di sekitar bandar raya Johor Bahru dalam usaha peremajaan bandar raya berkenaan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Dr Badrul Hisham Kassim berkata peruntukan dalam bentuk geran menerusi Program Geran Pusat Bandaraya Seni, Warisan dan Budaya itu hasil kerjasama pihaknya bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Think City.

Beliau berkata program itu juga merupakan pelengkap kepada inisiatif peremajaan dan menaik taraf landskap Sungai Segget yang bermula pada 2013 dan siap sepenuhnya tahun ini. 

“Selain peremajaan bandar, geran itu juga bertujuan untuk memelihara dan memulihara kepelbagaian aset warisan serta budaya di bandar raya ini bagi mengekalkan identiti tempatan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Pendekatan yang diambil bagi program ini adalah dalam bentuk pemberian geran kepada komuniti yang akan memastikan impak projek yang dikenal pasti adalah lebih menyeluruh dan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan diambil kira sepanjang pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kenali Wajah Baharu Sungai Segget dan Pelancaran Geran Pusat Bandaraya Johor Bahru: Seni, Warisan dan Budaya di sini semalam. 

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman.

Badrul Hisham berkata terdapat tiga skop untuk permohonan dan penggunaan geran berkenaan iaitu kandungan budaya, pengaktifan semula ruang dan program komuniti, dengan permohonan geran dibuka kepada orang ramai termasuk peniaga bermula hari ini hingga 25 Julai depan manakala keputusan permohonan pada 6 September.

Sementara itu, beliau berkata projek menaik taraf landskap Sungai Segget meliputi tiga fasa dengan fasa ketiga melibatkan kos RM40 juta.

“Fasa pertama adalah Loji Rawatan Kumbahan Berpusat dengan kos RM123 juta termasuk kos tanah manakala fasa kedua pula melibatkan pembinaan Sistem Pembetungan dan Mitigasi Banjir dengan kos RM117 juta,” katanya.

Beliau berkata usaha menaik taraf landskap Sungai Segget mampu menarik kehadiran pelancong dan rakyat tempatan.

Badrul Hisham berkata ini berikutan landskap Sungai Segget yang terbaharu dihidupkan dengan elemen dan komponen berasaskan identiti warisan Johor sekali gus menjadikan kawasan Sungai Segget lebih holistik untuk pembangunan dan kegunaan komersial, budaya dan rekreasi.

Sumber: BERNAMA