
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri kreatif muzik bagi menyelesaikan masalah berbangkit seperti isu royalti sebelum penubuhan Perbadanan Industri Muzik.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perjumpaan itu antara lain bagi memastikan kebajikan penggiat industri terbela serta tidak timbul isu pengabaian hingga menjejaskan periuk nasi mereka.
“Kita melakukan perjumpaan dengan mereka seperti penyanyi supaya dapat mendengar cadangan mereka. Walaupun mereka dibayar royalti melalui tiga badan, tetapi tiada badan khusus yang menjaga kebajikan mereka seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menjaga kebajikan pelakon.
Saya telah meminta ketiga-tiga badan iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Berhad dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad untuk mengatur perjumpaan secepat mungkin dengan pihak kami,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Ziarah Kasih di Rumah Seniman Datuk M Daud Kilau di Bagan Datuk di sini semalam.
Menurutnya, K-KOMM berhasrat menubuhkan Perbadanan Industri Muzik bagi memastikan kebajikan semua anak seni terbela supaya tiada berlaku lagi perang mulut di dalam kalangan persatuan membabitkan artis nyanyian mengenai isu royalti sebelum ini.
Sebelum ini dilaporkan komposer dan penulis lirik S Atan telah meminta kepada MACP supaya kalau ada stesen televisyen atau radio yang gagal membayar royalti beliau supaya tidak menyiarkan lagu-lagunya.
Terdahulu, Zahidi menziarahi Raja Gelek Malaysia, M Daud Kilau 83 dan turut menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran yang menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil di rumahnya di Sungai Balai Baroh di sini.
Munurut M Daud Kilau, kesihatan beliau masih seperti dahulu dan perlu bergantung dengan ubat-ubatan selain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang berkala sejak 2016.
“Keadaan kesihatan saya ketika ini kalau mahu menyanyi semula memang jauh lagi rasanya, hendak kata tinggalkan pentas tidak, itu rezeki saya yang dilahirkan sebagai penghibur. Terserah jika Allah SWT sudah tetapkan dan masih boleh menyanyi, menyanyilah kalau tidak, setakat ini sajalah saya reda,” katanya.
Beliau turut mengakui sudah lama tidak menerima bayaran royalti daripada pihak bertanggungjawab.
“Royalti lagu memang dapat juga tapi hendak kata setahun sekali pun tiada. Sebelum ini adalah dapat RM400 hingga RM300 tapi itu sudah lama saya pun sudah lupa kerana saya tidak ambil tindakan, bukan rezeki saya. Tapi saya bersyukur masih ada yang masih ingat pada saya termasuk juga memberi sumbangan,” katanya.
Sumber: BERNAMA