
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) optimis dapat menangani isu sekuriti makanan yang kini dibimbangi rakyat menerusi langkah mengukuhkan lagi industri penternakan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Berhad.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata RISDA dan Felcra bertanggungjawab melaksanakan projek memperkembangkan ladang ternakan ayam dan lembu bagi menjamin bekalan makanan itu daripada peruntukan yang disalurkan kementerian itu sejumlah RM80 juta.
Sehubungan itu, beliau berkata KPLB memberi jaminan akan memastikan projek ternakan ayam dan lembu berkenaan dilaksanakan dengan efisien dan efektif sekali gus objektif kementeriannya tercapai.
“Peruntukan KPLB sebanyak RM60 juta untuk Felcra besarkan ladang ternakan lembu manakala RM20 juta untuk RISDA besarkan ladang ternakan ayam…kita sasarkan 10,000 ekor lembu setahun, ayam pula 600,000 ekor dalam tempoh 35 hari. Kita tahu tidak dapat tampung sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membantu daripada segi sekuriti makanan melalui apa yang Felcra dan RISDA buat ini…projek ini kita dah mulakan dan dah lancarkan pun bagi ladang ternakan ayam di Rompin (baru-baru) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pendampingan dan Penyampaian Bantuan Warung Desa@KPLB Daerah Kuala Muda di Dewan Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Tepi Sungai di Kota Kuala Muda dekat sini semalam.
Abdul Rahman ditanya mengenai perancangan kementeriannya dalam usaha membantu kerajaan untuk memastikan krisis sekuriti makanan dapat diatasi sebaik mungkin.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera terutama dalam keadaan dunia menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.
Seri Paduka turut menitahkan supaya satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.
Sementara itu, mengenai Warung Desa berkenaan, Abdul Rahman berkata sebanyak 135 orang telah mendapat manfaat melalui bantuan itu di seluruh negara daripada jumlah sasaran keseluruhan peserta seramai 950 orang bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP).
Untuk rekod, PPP merupakan salah satu program KPLB untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan dan mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah kategori B40 yang menetap di luar bandar.
Bantuan PPP yang diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk mesin peralatan, premis, bengkel dan ruang niaga, bahan mentah, kos operasi permulaan, latihan prapelaksanaan projek serta bimbingan.
Sumber: BERNAMA