
Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 yang berlangsung selama sebulan bermula 1 Jun ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman rakyat Malaysia terutama generasi muda tentang aspek kebudayaan, sosiopolitik, sosioekonomi dan sukan di rantau ASEAN.
Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan (JaPen), Datuk Sivabalan Ethirmanasingham berkata, pertandingan dwitahunan secara dalam talian anjuran JaPen itu merupakan program utama di bawah Kalendar ASEAN-COCI (Jawatankuasa Kebudayaan dan Maklumat) dan telah memasuki edisi kesepuluh penganjurannya pada tahun ini.
“Pertandingan itu dianjurkan bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di samping menguji pengetahuan mereka tentang ASEAN menerusi bacaan,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri baru-baru ini.
Pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 30 Jun dibahagikan kepada dua kategori iaitu murid sekolah berumur 15 hingga 17 tahun dan kategori terbuka bagi individu berumur 18 tahun dan ke atas.
Ia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,000.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.penerangan.gov.my serta Facebook IRDivision & ASEAN Quiz Malaysia.
Sumber: BERNAMA