Posted on: 16/06/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kaedah pengumpulan data secara tersusun dan perkongsian menerusi platform data terbuka generasi baharu, KAWASANKU yang dilancarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Isnin lepas, dilihat mampu mengelakkan pembaziran sumber.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata data yang disediakan menjadikan semua pihak lebih memahami keperluan penduduk di setiap kawasan di negara ini selain membolehkan sebarang peruntukan yang hendak disalurkan dibuat secara lebih bersasar.

“Data yang dikeluarkan oleh DOSM melalui platform KAWASANKU bukan hanya penting kepada kerajaan tetapi juga membantu pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) atau swasta dalam tugasan mereka termasuk kerja sukarelawan atau pemberian sumbangan.

“Ini kerana mereka dapat mengetahui secara terperinci tentang situasi populasi di sesuatu negeri seperti jantina, usia dan etnik penduduk di peringkat Parlimen ataupun di sesuatu Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Untuk rekod, KAWASANKU mengandungi informasi berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. 

Mohd Uzir berkata semua pihak juga boleh melontarkan cadangan berdasarkan statistik yang dikeluarkan dalam usaha menambah baik kemudahan atau tahap ekonomi di sesuatu kawasan.

“Dengan mengakses https://kawasanku.dosm.gov.my/, rakyat biasa dalam apa jua profesion akan faham tentang sosioekonomi, alam sekitar dan setempat mereka.

“Mereka turut berpeluang untuk memberikan sebarang cadangan dan inilah yang kita perlukan iaitu membina negara secara bersama berdasarkan penemuan bancian penduduk,” katanya.

Sumber: BERNAMA