
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi projek tanaman sayur secara hidroponik dan tanaman hijau khusus untuk golongan wanita.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata perbincangan dan penelitian mengenai projek itu dilakukan dari semasa ke semasa bersama MAFI bagi memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai program, insentif serta latihan yang dianjurkan agensi kerajaan dan swasta.
“Kerajaan telah banyak menyediakan platform kepada usahawan wanita untuk terus membangun seterusnya merancakkan ekonomi keluarga dan negara.
“Fokus juga harus diberikan kepada usahawan wanita kecil terutama suri rumah dan ibu tunggal kerana golongan ini memerlukan sumber pendapatan yang boleh dijana dari rumah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat Projek Tanaman Sayur Secara Hidroponik di Rumah Tamu, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Kamaruddin Md Nor.
Rina berkata KPWKM juga telah melaksanakan pelbagai program pemerkasaan wanita dengan kerjasama lebih 20 kementerian dan agensi seperti Program Successful Women dan Program TemanNita bersama Tekun Nasional.
“Saya percaya peranan wanita boleh diperkasa dalam bidang pertanian moden sebagai satu kerjaya pilihan yang boleh memberi pendapatan tinggi yang pastinya kebebasan kewangan dan ekonomi satu asas penting dalam memperkasa wanita,” katanya.
Sementara itu, Ketua peserta projek tanaman sayur secara hidroponik dan tanaman hijau, Davina Henry Ungas berkata beliau bersama penduduk kampung daripada golongan wanita mengusahakan tanaman sayur secara kecil-kecilan di rumah sewaktu negara dilanda penularan wabak COVID-19.
“Hari ini tanaman-tanaman ini telah berjaya dikembangkan dengan berbekalkan modal awal sebanyak RM200 sahaja dan telah menuai hasil lima kali sebulan dengan hasil tuaian hampir 1,000 pokok setiap tuaian,” katanya.
Sumber: BERNAMA