
Sebanyak 17 sekolah di Melaka menerima pengiktirafan Eco-Schools yang dilaksanakan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation, World Wildlife Fund for Nature dan Jabatan Pendidikan Melaka sejak 2016.
Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata daripada jumlah itu, lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk, SK Bukit Lintang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru, SMK Durian Tunggal dan SMK Ayer Keroh diiktiraf ‘Green Flags’.
Katanya sembilan sekolah yang menerima pengiktirafan perak ialah SK Chabau, SK Padang Temu, SK Convent Infant Jesus Satu, SK Cheng, SMK Selandar, SMK Tun Tuah, SMK Iskandar Shah, SMK Air Molek dan SMK Tun Mutahir.
“Tiga lain sekolah yang memperoleh pengiktirafan gangsa ialah SMK (P) Methodist, SK Sri Laksamana serta SMK Bukit Katil dan sehingga kini sebanyak 135 daripada keseluruhan 315 sekolah di Melaka telah terlibat dalam Program Eco-Schools sejak 2016.
“Saya juga dimaklumkan pada tahun ini, sebanyak 10 sekolah dalam usaha ke arah mencapai pengiktirafan ‘Green Flag’ dan penglibatan sekolah dalam Program Eco-Schools ini selaras dengan misi Melaka menuju negeri lestari menjelang 2035,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lawatan Hijau Eco-Schools Melaka di SK Convent Infant Jesus Satu di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah dan Guru Besar SK Convent Infant Jesus Satu Ong Kwee Bee.
Rais berkata kerajaan negeri menerusi PTHM menggalakkan semua sekolah di Melaka untuk menyertai Program Eco-Schools kerana ia dapat memupuk budaya amalan hijau dalam kalangan pelajar di peringkat usia muda sekali gus meningkatkan kesedaran mereka terhadap amalan kitar semula yang memberi manfaat bukan sahaja kepada individu malah alam sekitar.
“Saya berharap program ini menjadi landasan kepada pelajar untuk menyumbang ke arah peningkatan kualiti alam sekitar, mengurangkan pengeluaran karbon dan mencipta kesan positif pada alam sekitar untuk jangka panjang dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.
Sumber: BERNAMA