Posted on: 23/06/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan menyegerakan inisiatif untuk menjalin kerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi memperluaskan pasaran industri telekomunikasi dan industri kreatif termasuk perfileman, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Katanya untuk permulaan, memorandum persefahaman (MoU) berkaitan usaha itu akan diwujudkan.

“Semalam saya ada sebut dalam mesyuarat pascakabinet supaya inisiatif ini mesti segera dimulakan oleh kementerian dengan mewujudkan MoU dengan semua negara ASEAN, tetapi boleh didahulukan dengan negara-negara yang bersempadan.

“Saya nak tengok ada satu MoU yang jelas meneroka kerjasama dan jangan tunggu orang datang melamar kita, kita kena berani keluar jangan duduk dalam kepompong. Kita ada banyak perkara yang boleh bekerjasama dengan negara-negara lain dalam telekomunikasi dan industri kreatif termasuk perfileman,” katanya.

Annuar berkata demikian selepas menyaksikan tayangan khas filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan di Golden Screen Cinema (GSC), di sebuah pusat beli belah di sini malam tadi.

Beliau berkata ASEAN perlu dilihat sebagai satu wilayah ekonomi dan Malaysia perlu mengambil peluang itu dengan memulakan langkah pertama membentuk kerjasama dengan negara-negara lain.

“Jumlah penduduk dalam wilayah atau dalam ASEAN itu ratusan juta, bukan kecil, dan kita mempunyai kuasa membeli yang bagus, pertumbuhan ekonomi yang bagus. Kita ada banyak potensi, maka dalam dunia perfileman juga, kita mesti ambil inisiatif sendiri.

“Oleh itu kita boleh mula buat MoU, dan dalam MoU itu harap dapat senaraikan satu persatu, termasuk kerjasama dalam soal perfileman,” katanya.

Annuar turut berkata sebelum ini pernah wujud MoU dengan negara-negara lain tetapi kebanyakan telah tamat tempoh sebelum dilanda pandemik COVID-19.

“Jadi semua ini mesti diperbaharui penekanan pasca COVID-19 dan ini penting kerana selepas COVID-19 semua negara berlumba-lumba untuk memulihkan ekonomi dan kehidupan masing-masing,” katanya.

Menyentuh mengenai Insentif Filem Malaysia (FIMI), beliau mengharapkan agar dana itu digunakan secara lebih meluas oleh penggiat industri susulan penerimanya agak rendah.

“Kita ada revolving fund sejumlah lebih RM300 juta tetapi jumlah penerimanya masih lagi rendah, kebetulan ada COVID-19 dan sebagainya.

Saya nak tengok dana FIMI juga dapat dipergunakan sepenuhnya dengan menggalakkan inisiatif datang kepada kita untuk bekerjasama juga dengan produser-produser dari negara lain,” katanya.

Beliau turut meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengadakan dana khusus untuk menggalakkan filem yang dapat diterbitkan atau diarahkan bersama antara penggiat industri tempatan dan antarabangsa bagi memperluaskan pasaran perfileman.

Sementara itu mengulas filem ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’, Annuar turut menyeru penggiat industri filem tempatan untuk menghasilkan lebih banyak karya yang mempunyai nilai sejarah serta patriotisme.

Katanya ini kerana terdapat banyak episod sejarah negara yang boleh diketengahkan dalam bentuk perfileman untuk dikongsi dan dipertontonkan kepada rakyat.

“Saya harap lebih banyak filem yang mempunyai nilai sejarah, pada masa sama bawa mesej baik kepada masyarakat kerana filem ini bukan hanya hiburan semata-mata tetapi ia mempunyai peranan tersendiri,” katanya.

Sumber: BERNAMA