
Tepat 6.41 pagi waktu Malaysia, isyarat telemetri pertama daripada MEASAT-3d diterima, sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.
Detik bersejarah itu diumumkan di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini yang menjadi venue siaran langsung pelancaran satelit MEASAT-3d dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).
Proses pemisahan pertama dari roket pelancar Ariane-5 berlaku pada 6.19 pagi waktu Malaysia dan pemisahan kedua pada 6.34 pagi sebelum isyarat pertama diterima oleh bumi tujuh minit kemudian.
Pelancaran satelit MEASAT-3d mengalami kelewatan 47 minit daripada jadual asal pada 5.03 pagi waktu Malaysia.
Sumber: BERNAMA