
Satelit MEASAT-3d penting kepada negara dalam mencapai liputan Internet 100 peratus sebelum 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata perkhidmatan satelit itu yang dilancarkan hari ini boleh digunakan dalam masa beberapa bulan lagi.
“Jadi pelancaran (satelit MEASAT-3d) hari ini ada dua aspek yang penting, yang pertama memungkinkan kita mencapai liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025.
“Keduanya, kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar, meningkatkan perkhidmatan kelajuan tinggi sepertimana yang kita gunakan rangkaian gentian optik yang sedang kita laksanakan di kawasan-kawasan yang maju,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan siaran langsung pelancaran MEASAT-3d di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
MEASAT-3d dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Sumber: BERNAMA