
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan komuniti antarabangsa supaya bekerjasama dengan mengamalkan semangat ‘keluarga dunia’ dalam menghadapi cabaran global terutamanya ketika pascapandemik.
Ismail Sabri berkata pandemik COVID-19 telah mengajar bahawa cabaran global yang berlaku ketika ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau secara ‘silo’.
Beliau berkata ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pascapandemik yang kompleks selain terdapatnya persaingan yang semakin sengit antara kuasa-kuasa besar dunia.
“Di Eropah misalnya kita menyaksikan konflik yang memberikan kesan amat dahsyat, bukan hanya kepada penduduk negara-negara terlibat tetapi tempiasnya turut dirasai di seluruh dunia.
“Berikutan itu penting sekali bagi komuniti antarabangsa melipatgandakan persediaan berdepan dengan ketidaktentuan serta bekerjasama ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur,” katanya ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-35 menerusi rakaman video hari ini.
Mengambil contoh di Malaysia, Perdana Menteri berkata semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang diamalkan ketika ini untuk menjalin kerjasama yang inklusif, mementingkan kebersamaan serta mengutamakan golongan yang paling memerlukan, ternyata dapat membuka ruang ke arah mencapai jalan penyelesaian yang lebih baik.
Beliau berkata permasalahan global yang menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani seharusnya menjadi ingatan kepada penggubal dasar tentang pentingnya untuk menguruskan segera cabaran yang boleh mengakibatkan kesan buruk kepada generasi akan datang.
Menyentuh mengenai ASEAN, Ismail Sabri berkata ASEAN sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asasnya yang mengutamakan kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) dalam menghadapi cabaran lalu dan yang mendatang.
Menurut Perdana Menteri, prinsip-prinsip asas ASEAN seperti saling bekerjasama dan menghormati kedaulatan negara serta semangat membimbing negara-negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau menjadi resipi kejayaan di rantau ini.
“Sehubungan itu, ASEAN muncul sebagai gagasan yang dihormati dan dipercayai bagi mekanisme pelbagai hala serantau. Namun begitu, kepaksian rantau ini akan terus diuji dengan tekanan dalaman dan luaran.
“Untuk itu ASEAN juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala, bahkan minilateral dan juga kreativiti serta sokongan badan-badan bukan kerajaan untuk berjaya,” katanya.
Sumber: BERNAMA