Posted on: 07/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan 68 kes malaria setakat ini, meningkat kepada dua kes berbanding tahun lepas dalam tempoh yang sama, kata Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 11 kes atau 16 peratus adalah malaria manusia, manakala 57 kes (84 peratus) adalah malaria zoonotik iaitu jangkitan malaria daripada monyet.

“Jumlah kes tahun ini juga lebih tinggi berbanding tempoh sama 2020 iaitu 53 kes tetapi lebih rendah daripada 2019 iaitu 81 kes,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Padang Awam Kampung Chuchuh Puteri di sini semalam. 

Terdahulu, majlis perasmian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata mengikut pecahan kewarganegaraan 57 kes (63.24 peratus) melibatkan warga tempatan dan 11 kes (36.76 peratus) pula warga asing iaitu terdiri daripada Thailand, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Bangladesh.

“Lima daerah yang terlibat dengan kes malaria adalah Gua Musang sebanyak 32 kes, Kuala Krai (15 kes), Jeli (7), Tanah Merah (2 kes) serta Machang (1 kes). Bagi kes warga asing pula, 10 kes dikesan di Gua Musang dan satu kes di Kuala Krai,” katanya yang menambah tiada kematian kes malaria dicatatkan di Kelantan setakat ini.

Dalam pada itu, Dr Izani berkata berdasarkan kepada analisa pihak jabatan kesihatan, individu  berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan malaria adalah dalam kalangan pekerja daripada industri peladangan, getah, perlombongan selain masyarakat Orang Asli dan penduduk yang tinggal di pinggir hutan yang terdedah kepada populasi haiwan seperti beruk atau kera serta gigitan nyamuk tiruk. 

Katanya  penduduk atau individu yang berisiko mendapat jangkitan malaria perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh, lemah dan sakit badan.

“Kita berharap penglibatan komuniti dan agensi lain dalam pencegahan penyakit malaria dapat dipertingkatkan di Kelantan, malah komuniti dinasihatkan agar melaksanakan tindakan pencegahan jangkitan kes ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA