Posted on: 07/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Laporan terkini berhubung kedudukan bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram, ayam dan telur dalam pasaran akan dibentangkan dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau yang mengganggotai pasukan khas  itu berkata laporan berkenaan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah penting kerana ia dibangkitkan rakyat khususnya berkaitan bekalan.

“Kita melawat ke kedai memang sesetengah kedai tu langsung tidak ada (bekalan minyak masak paket). Hari ini kita jangka akan terima laporan tentang kedudukan terkini, dan yang penting tindakan-tindakan yang sudah diambil dan setakat mana ia berkesan untuk pastikan bekalan dan harga (tidak melebihi harga siling),” katanya kepada media selepas merasmikan cawangan Richiamo Coffee ke-99 dan kiosk pertama Richiamo Coffee di sini semalam.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada  29 Jun lepas bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan berkesan.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Ia dianggotai lima ahli iaitu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Mustapa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam mesyuarat pertama pasukan itu pada 30 Jun, antara perkara yang dibangkitkan ialah kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram dan isu orang tengah atau kewujudan kartel dalam menentukan harga barang keperluan di pasaran.

Sumber: BERNAMA