Posted on: 08/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Georgia mahu terus memperkukuh hubungan dengan negara anggota ASEAN khususnya Malaysia dan agenda itu merupakan satu daripada keutamaan dasar luar Georgia, kata dutanya ke Malaysia Nikoloz Apkhazava.

Apkhazava berkata terdapat banyak potensi kerjasama ekonomi dan pelaburan antara Georgia dan Malaysia yang boleh diterokai.

“Tahap pelaburan antara kedua-dua negara meningkat secara berterusan tetapi masih  rendah. Bagaimanapun, kerjasama antara negara kita semakin meningkat dan telah memasuki tahap pembangunan baharu; kerjasama ekonomi dan perdagangan, perolehan semakin meningkat.

“Tahun depan kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Malaysia, kedutaan sedang giat bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp), untuk menganjurkan beberapa lawatan perniagaan.

“Georgia juga aktif dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Malaysia baru-baru ini telah menunjukkan peningkatan minat terhadap inisiatif ini, yang membuka satu lagi saluran kerjasama antara negara kita,” katanya.

Apkhazava berkata satu lagi sektor yang mempunyai potensi besar ialah pelancongan, Georgia dan Malaysia boleh mendapat manfaat daripada kerjasama yang lebih erat.

“Memandangkan pengalaman Malaysia yang kaya dalam sektor pelancongan, Georgia mengalu-alukan pelabur Malaysia yang bersedia untuk melabur dalam infrastruktur pelancongan di Georgia,” katanya.

Eksport Georgia ke Malaysia antaranya wain, peralatan perubatan serta barangan peribadi.

Import Georgia dari Malaysia pula termasuk pakaian, aksesori kasut, perabot, minyak kelapa sawit, minyak kelapa, sabun, peralatan elektrik dan sebatian organo sulfur.

Menurut data Perkhidmatan Statistik Georgia, perolehan perdagangan antara Georgia dan Malaysia meningkat secara berterusan dan pada 2021 mencecah sekitar US$15 juta.

“Sebab perolehan perdagangan yang agak kecil mungkin disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan perniagaan tentang peluang perniagaan dan pelaburan negara kita,” jelasnya.

Untuk meningkatkan kesedaran dan mengukuhkan lagi hubungan dagangan dan ekonomi, webinar Forum Perniagaan Georgia-Malaysia maya yang pertama telah diadakan padaJun 2021 menyaksikan lebih 100 wakil sektor swasta mengambil bahagian.

Georgia dan Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1993.

Mengenai Perjanjian dan Memorandum Persefahaman (MoU), dalam tempoh lima tahun lalu, empat MoU telah ditandatangani antaranya berkaitan pemuliharaan hidupan liar dan pengajian tinggi.

Apkhazava berkata Georgia dan Malaysia juga boleh memperoleh manfaat dengan meneroka potensi besar dalam bidang tenaga.

Dalam konteks ini, Georgia sedang membangunkan sektor tenaganya dan menyasarkan untuk muncul sebagai hab transit tenaga.

Menyentuh mengenai hubungan dua hala,  pada 2018 pusingan pertama rundingan dua hala telah diadakan antara Kementerian Luar Georgia dan Malaysia di Putrajaya, sempena ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik kedua-dua negara dan rundingan pusingan kedua dijadualkan diadakan di Tbilisi.

Sumber: BERNAMA