Posted on: 13/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 80 peratus kluster kes jangkitan saluran pernafasan iaitu Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) yang dilaporkan di Johor melibatkan institusi pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata hasil pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati kebanyakan kluster yang melibatkan institusi pendidikan itu dikesan di sekolah asrama.

“Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah melibatkan institusi pendidikan, 12 wabak (80 peratus). Pada Minggu Epidemiologi (ME) 23 hingga ME 27/2022, terdapat peningkatan bagi kes yang dilaporkan namun keadaan kini masih terkawal. 

“Bagaimanapun secara amnya, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di Malaysia sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau semalam.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 1,319 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan di negeri itu hingga ME 27/2022, berbanding 574 kes pada tempoh ME yang sama bagi tahun lepas.

Ling berkata JKNJ akan terus memantau situasi dan trend kejadian ILI dan URTI di negeri ini serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah-langkah kawalan dan pencegahan dapat dilakukan dengan sewajarnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan dengan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air, sabun atau cecair pembasmi kuman. 

“Amalkan juga etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung,” katanya.

Menurut beliau, orang ramai juga perlu mengamalkan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter daripada individu yang bergejala dan mengelakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai.

Sumber: BERNAMA