Posted on: 14/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dalam menangani inflasi dan kenaikan harga barang, komunikasi merupakan antara medium amat penting kerana ia melibatkan pengguna yang perlu mendapatkan mesej jelas berkaitan situasi yang berlaku, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu berkata sekiranya pengguna tidak mendapat maklumat jelas berkaitan situasi yang berlaku, ia boleh menimbulkan masalah termasuk salah faham dan pembelian panik. 

“Ia adalah seperti satu ekosistem yang melibatkan banyak segmen. Kerajaan perlu cari jalan untuk menangani kenaikan harga barang, pengeluar pula kena tingkatkan keefisienan untuk memastikan kos rendah manakala pengguna pula melakukan peranan antaranya tidak membuat pembelian panik.

“Semua segmen ada peranan masing-masing dan kalau mesej tidak sampai, semua sistem akan berlaku keadaan kucar-kacir,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif di TV1 dengan topik Tangani Inflasi Perkukuh Ekonomi malam tadi. 

Annuar berkata pasukan khas itu, yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, diwujudkan untuk bertindak secara day-to-day basis dan  berbeza dengan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang lebih tertumpu kepada membuat dasar. 

“Contohnya bila harga ayam mencanak naik, kita memerlukan tindakan cepat… NACCOL akan bincang bagaimana untuk buat dasar, kaedah sekuriti makanan dan lain-lain, itu adalah untuk jangka sederhana dan panjang tetapi jawatankuasa ini untuk bertindak secara pantas terutama melindungi rakyat daripada terkesan teruk akibat harga yang tidak terkawal.

“Jawatankuasa ini akan memantau keseluruhan rantaian berkaitan pembekalan ayam supaya harga distabilkan dan Alhamdulillah, harga ayam sudah stabil malah ada juga yang dijual lebih rendah daripada harga siling ditetapkan,” katanya. 

Kerajaan mewujudkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.

Pasukan itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Annuar juga berkata kerajaan mengambil sikap sangat tegas dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa terbela khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah. 

“Jangan semudahnya lontarkan cerita kerajaan tarik subsidi, kerajaan nak susahkan rakyat. Kita boleh lihat adakah kos pengangkutan kita tinggi daripada negara lain? Adakah harga beras dan gula kita tinggi daripada negara lain?

“Dalam menguruskan negara, kita mesti memahami apa yang berlaku perlu ditangani dan kita akan ambil tindakan demi tindakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA