
Kementerian Dalam Negeri sedia menggerakkan agensi di bawahnya seperti Polis Diraja Malaysia bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membendung isu ketirisan minyak masak bersubsidi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan KPDNHEP dalam isu membabitkan kebajikan rakyat bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang menyalahgunakan keperluan rakyat.
“Daripada pengalaman saya sebagai Menteri menjaga isu yang sama semasa saya menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, saya hanya menggunakan penguatkuasaan yang ada melalui agensi di bawah kementerian saya.
“Kita bersedia beri kerjasama sebab yang penting kepada kita ialah memahami bahawa kita ada penguatkuasaan yang kita boleh gunakan, bukan hanya dari segi undang-undang tertentu tetapi semua yang boleh kita bantu, kita akan bantu,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia di sini semalam.
Pada 30 Jun lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata kementerian itu akan ‘meminjam’ pegawai daripada agensi penguatkuasaan lain untuk melakukan operasi menangani kekurangan serta ketirisan bekalan minyak masak dalam negara.
Nanta berkata operasi tidak hanya tertakluk di sempadan sebaliknya dalam negara terutama terhadap pengeluar atau pengilang yang disyaki cuba menggugat pasaran minyak masak tempatan.
Sumber: BERNAMA