Posted on: 21/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan bukan program “suka-suka”, sebaliknya program tiga hari bermula Jumaat ini di Stadium Sultan Muhammad IV itu membawa perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga penyelaras AKM Kelantan berkata menjadi hasrat kerajaan untuk merakyatkan maklumat supaya semangat Keluarga Malaysia yang menjadi dasar dan falsafah pentadbiran negara dapat benar-benar dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

“Kita tokse (tidak mahu) jadi slogan sahaja, tidak rasa atau tahu apa-apa jadi semua kementerian pergi ke setiap negeri akan tunjuk apa program utama yang dilaksanakan, apa rancangan masa depan, program yang telah berjaya dan lebih penting apa perkhidmatan yang setiap kementerian tawarkan kepada rakyat.

Dengan cara itu konsep Keluarga Malaysia akan jadi lebih bermakna lagi, dari segi maklumat rakyat akan lebih faham atau orang Kelantan kata ‘belago angin’ (tertarik/setuju) oleh itu apabila hadir ke program jelajah nanti (mereka) boleh tengok, boleh dengar dan boleh tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual KELANTANfm, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Annuar berkata AKM Kelantan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai hubungan istimewa dengan negeri ini kerana ibu bapa pemimpin itu berasal dari Kelantan.

“Mak dan ayah beliau asal Salor (Kota Bharu) jah, jadi bila ada darah Kelantan ini semangat nak tolong rakyat ini kuat, bila dibuat program sebegini kita bawa perkhidmatan kerajaan supaya lebih mudah dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pengisian sepanjang tiga hari program AKM Kelantan, Annuar berkata edisi keenam itu pengunjung akan disajikan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kesenian RIUHxJAKM Kelantan, Karnival Digital K-KOMM@JAKM, ramah mesra bersama artis, pertandingan Muay Thai antarabangsa, Bekwoh (Kenduri) Keluarga Malaysia dan Bicara Ulama Nusantara. 

“Selain daripada aktiviti yang saya sebutkan tadi, terdapat program yang sentiasa mendapat sambutan setiap kali AKM iaitu Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia oleh PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

Ini merupakan program yang dinanti-nantikan oleh para pemburu kerja kerana pastinya banyak jabatan, organisasi serta syarikat yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Sumber: BERNAMA