Posted on: 22/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan bercadang untuk membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata struktur sabo tersebut dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.

“Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai 2023 sehingga 2030.

Ismail Sabri juga mengarahkan kementerian dan agensi terbabit  meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk  mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

“Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat.

“Penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan mesyuarat MAN semalam juga telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040) yang akan dilaksanakan di pelbagai peringkat melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan WST2040.

Beliau berkata Agenda Transformasi Sektor Air 2040 menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara. 

Sumber: BERNAMA