
Tiga pemenang Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 akan mewakili negara ke Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Rantau di Myanmar yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.
Jabatan Penerangan Malaysia, dalam kenyataan semalam, memaklumkan kesemua pemenang itu adalah Sky Broxlyne Roy Maxwill dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh Ranau, Sabah, George Loh Ing Won dari SMK Methodist, Sarawak dan Muhammad Adam Haiqal Shaari Ismail dari Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, Terengganu.
Roy Maxwill diumumkan sebagai Johan Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 bagi Kategori Murid Sekolah manakala Loh di tempat kedua dan Muhammad Adam Haiqal, ketiga dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, RM1,500 dan RM1,000 berserta sijil dan trofi.
Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan peserta, telah berlangsung pada 1 hingga 30 Jun lepas melibatkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Murid Sekolah.
Sementara itu, Mohammad Fakkrudin Hasani dari Kedah diumumkan johan bagi Kategori Terbuka, manakala Siti Aishah Abdul Rahman dari Pahang, naib johan dan ketiga, R. Gobinath Nair dari Sabah.
Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu, menerusi kenyataan sama, memaklumkan Pertandingan Kuiz ASEAN 2022 telah mendapat penyertaan sebanyak 54,796 individu iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 47,091 individu pada 2020.
Pertandingan edisi ke-10 penganjurannya sejak 2002 adalah acara dwitahunan yang diadakan secara berkala di bawah kalendar Jawatankuasa ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI).
Sumber: BERNAMA