
Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah akan melaksanakan program perpaduan serta kenegaraan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ mulai Ahad ini.
Pengarahnya Nadzerah Abdullah berkata program yang dirangka bagi menggelorakan semangat patriotisme dan cintakan negara itu, akan dimulakan dengan pelancaran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadual disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 31 Julai ini.
Nadzerah berkata pelbagai aktiviti lain akan diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini termasuk pertandingan pengisahan kenegaraan; program semarak gemilang; kembara Keluarga Malaysia dan perarakan baton Jalur Gemilang; serta program Merdeka @ Komuniti.
“Penganjuran program ini bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam perpaduan dan menggalakkan penglibatan masyarakat,” katanya ketika berucap pada program Kupi-Kupi JaPen Sabah bersama media di sini semalam.
Beliau berkata program itu merupakan pendekatan santai JaPen Sabah dalam menyelitkan mesej berkaitan dasar dan pembangunan negara termasuk dalam konteks Dasar Keselamatan Negara, selain wadah mengeratkan lagi hubungan baik bersama pengamal media tempatan.
Nadzerah berkata negara ketika ini bukan hanya berdepan cabaran memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk, tetapi juga keterbukaan sumber maklumat tanpa sempadan.
“Masyarakat kini mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang dan kita dapat melihat lontaran pendapat secara lebih terbuka khususnya di media sosial.
“Dalam meraikan perbezaan pendapat, kita perlu sentiasa memegang prinsip bersatu teguh bercerai roboh agar pembinaan negara bangsa Malaysia yang terhubung, bersatu padu, berilmu dan berintegriti kekal berterusan,” katanya.
Menurutnya bidang kewartawanan turut memainkan peranan penting dalam masyarakat majmuk dan demokratik, dengan media memberi laporan, perbincangan serta analisis dalam pelbagai perkara yang secara tidak langsung akan membentuk pola positif pemikiran rakyat.
Katanya pengamal media perlu terus menghasilkan karya penulisan ke arah mewujudkan semangat patriotisme dan perpaduan bagi membina bangsa Malaysia bermaklumat, proaktif serta berdaya saing.
Sumber: BERNAMA