
Sebuah aplikasi telefon pintar berkaitan pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi diharap dapat dibangunkan melalui program MyHackathon 2022 yang disasarkan disertai 300 peserta termasuk syarikat permulaan dan pereka inovasi di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pembangunan aplikasi itu penting bagi menyelesaikan masalah pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi, bersesuaian dengan isu semasa yang dihadapi rakyat.
“Kita (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)) juga ingin lihat MyHackathon kali ini dapat menampilkan penyelesaian untuk memantau pengeluaran dan pemasaran hasil tani bagi tujuan ramalan tawaran dan permintaan hasil pertanian.
“Selain itu berkaitan penyelesaian untuk aktiviti penuaian kelapa sawit yang lebih efektif, penggunaan robot untuk kegunaan aktiviti cari dan menyelamat untuk Jabatan Bomba dan juga penyelesaian pengawalan pencerobohon dron bagi tujuan penyeludupan atau tinjauan tidak sah ke kawasan akses terhad untuk Jabatan Penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program MyHackathon 2022 Kohort Pertama di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South di sini semalam.
Dr Adham berkata MyHackathon 2022 adalah kesinambungan program yang dianjurkan pada 2020 yang menggalakkan bakat-bakat tempatan untuk mengetengahkan idea bernas bagi membantu kerajaan menambah baik sistem penyampaiannya agar segala manfaat sampai ke akar umbi.
Katanya program diperkenalkan oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) selaku agensi titik fokus ekosistem permulaan di bawah MOSTI, MyHackathon kali ini menawarkan geran berjumlah RM2.5 juta kepada 10 pemenang yang berjaya membangunkan penyelesaian terbaik.
“Kita yakin pemberian geran ini akan lebih memotivasikan mereka (bakat tempatan) yang lain untuk membangunkan apa juga bentuk penyelesaian yang dapat menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan Cradle Fund telah merekodkan seramai 25,000 pengunjung di platform MyStartup setakat ini sejak ia dilancarkan pada November tahun lepas.
“Daripada jumlah itu, 15 peratus adalah pengunjung dari luar negara iaitu Amerika Syarikat, India dan United Kingdom. Kita yakin jumlahnya akan bertambah mengambil kira inisiatif kita (MOSTI) memberikan Ali Baba ‘cloud kredit’ kepada pengunjung yang menjadi peserta platform,” katanya.
Sumber: BERNAMA