Posted on: 30/07/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) nyata teruja menyertai ribuan Keluarga Malaysia meraikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya hari ini.

Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata kira-kira 200 OKU terdiri daripada pelbagai kategori turut bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri  dalam program Berjalan Teguh Bersama sejauh 2.7 kilometer bermula dari Dataran Putra ke Kementerian Wilayah Persekutuan, Monumen Alaf Baru dan berakhir di Dataran Putrajaya.

“Hari ini meriah, saya rasa seronok sangat sebab ramai sahabat yang datang juga daripada pelbagai kategori.

“Kami sebenarnya datang nak tengok pelancaran tapi saya seronok kerana dapat tolak kerusi roda dari  Masjid Putra di Dataran Putra sampai ke mari (Istana Kehakiman),” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini hari ini.

Ras Adiba berkata beliau yang tiba pada 7.30 pagi turut bersama peserta dalam program berjalan santai itu dengan berkerusi roda di sepanjang laluan program tersebut.

Menurut Ras Adiba, sahabat OKU yang hadir berkongsikan rasa teruja kerana selain dapat menyertai sambutan yang meriah itu, mereka berasa seronok kerana dapat berjumpa ramai orang.

“Jadi tengok orang punya sambutan, orang ramai yang keluar beramai-ramai untuk meraikan majlis upacara kita pada hari ini. Amat mengagumkan.

“Semua senang hati sangat sebab dapat keluar untuk meraikan bersama Perdana Menteri, dapat bersama sahabat-sahabat yang dah lama tak jumpa dan yang pasti seronok rasanya dapat meraikan kita punya Bulan Kemerdekaan ini.

“Seronok sangat sebab dah lama tak keluar,” katanya sambil menambah perbezaan keupayaan tidak langsung menghalang golongan OKU daripada berjalan bersama Keluarga Malaysia yang lain. 

Sumber: BERNAMA