Posted on: 01/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 2,000 Jalur Gemilang diedar Jabatan Penerangan Selangor di setiap 10 hentian terpilih sempena Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM 2022) peringkat Selangor yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu lepas.

Menurut Jabatan Penerangan Selangor, setiap hentian akan menerima 200 bendera termasuk 100 bendera tangan.

Jabatan itu memaklumkan pada hari kedua, kembara tersebut telah tiba di Sekolah Agama Menengah Jeram, Kuala Selangor bagi penyerahan baton oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang Aniza Azmi, selaku wakil daerah Klang kepada wakil daerah Kuala Selangor iaitu Penghulu Mukim Jeram Mohd Rizan Haron. 

“Pada petang ini, sambutan ketibaan pasukan Konvoi Kembara Merdeka sungguh luar biasa dan penuh semangat patriotisme dengan kibaran Jalur Gemilang sepanjang pintu masuk oleh pelajar Sekolah Agama  Menengah Jeram,” menurut jabatan itu menerusi laman Facebook.

KMKM 2022 peringkat Selangor akan menjelajah lima daerah terpilih iaitu Kuala Langat, Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sebagai usaha memupuk serta menyemai semangat patriotisme.

Konvoi tersebut berhenti di 10 hentian terpilih sebelum dijangka menghantar baton jelajah tersebut kepada Perak, iaitu negeri seterusnya bertempat di Dataran Menara Condong, Teluk Intan esok.

Sumber: BERNAMA