Posted on: 01/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tiada sesiapa dalam kalangan Keluarga Malaysia ketinggalan dalam agenda pembangunan negara termasuk kaum minoriti seperti masyarakat Siam di Perlis.

Exco Pelancongan Perlis Asmaiza Ahmad berkata tema Hari Kebangsaan ke-65 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ membawa makna yang mendalam buat seluruh rakyat negara ini kerana mereka adalah anggota Keluarga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.

“Dalam aspirasi Keluarga Malaysia, elemen perpaduan menjadi teras utama bagi memastikan kelangsungan negara yang aman, makmur dan harmoni. Ia  harus dipertahankan kerana bukan mudah untuk pejuang kemerdekaan mencapai kemerdekaan yang kita warisi hari ini.

“Semua rakyat Malaysia tidak kira siapa mereka, walaupun daripada etnik minoriti seperti masyarakat Siam di Perlis tidak pernah dilupakan oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama ketika Program Merdeka@ Komuniti Keluarga Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Asmaiza bersama 30 ahli Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia Belukar Lenga dan Kubang Tiga mengedar dan mengibarkan Jalur Gemilang di lebih 220 rumah masyarakat Siam di sini.

Asmaiza berharap program Merdeka@Komuniti dapat meningkatkan semangat kecintaan rakyat terhadap negara dan mereka akan terus menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Azrul Hasan berkata ini adalah program pertama Merdeka@Komuniti  Keluarga Malaysia yang akan diteruskan hingga 16 September.

“Di Perlis terdapat 45 Komuniti Keluarga Malaysia dan semua komuniti ini akan terlibat dengan program ini (Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia),” katanya.

Bagi Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Belukar Lenga dan Kubang Tiga, Sian Wing, 53,  beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak pernah membelakangkan masyarakat Siam dalam semua agenda pembangunan kerajaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, sudah pasti kami bangga apabila tidak disisihkan untuk bersama Keluarga Malaysia,” katanya.

Sumber: BERNAMA