Posted on: 04/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Semenjak negara dilanda pandemik COVID-19, sektor e-dagang yang semakin berkembang luas dengan kecenderungan pengguna menggunakan transaksi dalam talian, secara tidak langsung mengundang kewujudan banyak ‘scammer’ menggunakan taktik dan helah mengeksploitasi teknologi untuk melakukan penipuan terhadap mangsanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi  berkata sebahagian besar kes penipuan melibatkan kategori transaksi dalam talian selain laporan penipuan berkaitan barang tiruan, perkhidmatan dan harga mengelirukan.

“Justeru, scam (penipuan) dalam konteks KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) adalah lebih kepada penipuan pembelian barangan mahupun perkhidmatan dalam talian dari segi harga mahupun barang itu sendiri, barang yang dipesan tidak sampai, iklan mengelirukan dan sebagainya,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama.

Nanta berkata KPDNHEP menerima 15,957 aduan daripada pengguna bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini dan daripada jumlah itu, penipuan transaksi dalam talian mencatat aduan tertinggi dengan 4,760 kes, harga mengelirukan (4,187) dan perkhidmatan mengelirukan (3,289).

“Daripada keseluruhan aduan, tiga negeri yang menerima aduan tertinggi ialah Selangor dengan 4,611 aduan, Kuala Lumpur (3,601) dan Johor (1,272),” katanya.

Beliau berkata menurut laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2020 hingga Mei 2022, sebanyak 71,833 kes scam dilaporkan melibatkan kerugian dan kehilangan mencecah RM5.2 bilion dengan 68 peratus daripada jumlah itu merupakan ‘scammer’ dalam talian.

“KPDNHEP menerima 4,018 aduan berkenaan scam dalam talian dari tahun 2020 hingga 17 Feb 2022 melibatkan kerugian dan kehilangan berjumlah RM21.7 juta,” katanya.

Melihat kepada trend penipuan (scammer) yang meningkat saban tahun, beliau berkata KPDNHEP mengambil langkah proaktif dengan menggandakan usaha untuk menyedarkan masyarakat berhubung taktik pemerdayaan yang digunakan sindiket penipuan berkenaan.

Beliau berkata KPDNHEP melaksanakan pelbagai program advokasi kepenggunaan selain mendedahkan masyarakat berhubung teknik-teknik penipuan yang dilakukan, literasi kewangan, perniagaan tidak wujud, deposit yang tinggi, terima mesej menangi hadiah atau peraduan tapi perlu bayar terlebih dahulu dan menerima untung tidak munasabah.

Nanta berkata Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP mempunyai peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkaitan perdagangan elektronik (online) iaitu Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 untuk menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat perlanggaran ke atas undang-undang berkaitan.

“Peraturan itu mewajibkan peniaga mendedahkan lapan maklumat utama iaitu nama peniaga, nombor pendaftaran perniagaan, e-mel serta nombor telefon, perihal ciri utama barang/perkhidmatan, harga barang termasuk kos penghantaran, kaedah pembayaran, terma/syarat dan anggaran masa penghantaran,” katanya.

Beliau berkata maklumat itu perlu didedahkan oleh peniaga bagi memudahkan pengguna membuat pilihan, mendapatkan maklumat tambahan dan berkomunikasi dengan peniaga supaya pengguna tidak rasa diperdaya selain memudahkan tindakan oleh KPDNHEP sekiranya pengguna ingin mengemukakan aduan.

Nanta berkata KPDNHEP akan meningkatkan kerjasama dengan PDRM, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Persatuan Pengguna supaya taktik jahat ‘scammer’ dapat  disebar-luaskan melalui pelbagai medium  supaya sampai kepada masyarakat termasuk di luar bandar dan pedalaman.

“Pengguna bijak adalah pengguna yang bermaklumat, sentiasa kemaskinikan diri dengan teknologi dan teknik-teknik baharu yang diguna oleh scammer selain mereka yang tidak gelojoh dan tamak untuk cepat kaya menggunakan jalan pintas,” katanya.

Sumber: BERNAMA