Posted on: 08/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memeterai Nota Kerjasama dengan  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mewujudkan kolaborasi strategik dalam bidang pembangunan Program Pertanian Komuniti iaitu Projek Kebuniti Keluarga Malaysia.

KPN dalam kenyataan semalam memaklumkan melalui kerjasama itu, KPN menyertai Jawatankuasa Dasar dan Koordinasi Program Pertanian Komuniti Bandar yang turut membabitkan pelbagai kementerian, jabatan serta agensi berkaitan.

Melalui kerjasama dua hala itu, KPN dan MAFI akan merangka pelbagai program pembangunan serta projek pertanian yang dilaksana oleh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara sekali gus membantu memperkukuh rantaian bekalan makanan negara dan meringankan kos sara hidup komuniti.

“Kerjasama itu akan menumpukan kepada pembangunan dan pengembangan 111 Projek Kebuniti KRT sedia ada dan seterusnya akan diperluas secara berperingkat kepada lebih banyak KRT di seluruh negara.

Terdapat sebanyak 8,330 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara sejak Jun lepas,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu menyebut antara skop kerjasama yang dipersetujui merangkumi khidmat nasihat, latihan dan kursus pengembangan projek, khidmat teknikal, input pertanian serta pemantauan dan penilaian projek. 

Nota kerjasama itu  ditandatangani oleh  Ketua Setiausaha KPN  Datuk  Noridah  Abdul Rahim dan Ketua Setiausaha MAFI  Datuk  Haslina  Abdul Hamid dengan disaksikan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sumber: BERNAMA