Posted on: 15/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menyasarkan penyertaan 81 perpustakaan desa  dalam Program Dariku Untukmu bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr. R Santhara Kumar berkata program itu dijangka melibatkan 1,620 pelajar sekolah rendah dan menengah dan akan berlangsung sehingga penghujung bulan depan. 

Beliau berkata selain menyuburkan budaya membaca, usaha menaik taraf perpustakaan desa juga akan dilaksanakan seperti penyediaan Wi-Fi untuk penduduk sekitar.

“Untuk makluman, di negara ini kita mempunyai 1,094 perpustakaan desa, namun di bawah kendalian PNM ada 507 buah sahaja dan untuk permulaan, 81 perpustakaan desa dipilih untuk program ini yang dimulakan di sini (Segamat).

“Pemilihan 81 perpustakaan desa itu juga kerana melibatkan para pelajar daripada golongan B40,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sepinang, dekat sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah PNM Salasiah Abdul Wahab.

Katanya, pihaknya juga menyasarkan capaian internet yang lebih baik bagi 60 peratus perpustakaan desa serta capaian internet menyeluruh di semua perpustakaan desa di bawah PNM menjelang awal tahun depan.

“Kita mengharapkan apabila adanya kemudahan internet yang lebih baik ini, ia akan menjadikan perpustakaan desa sebagai pusat ilmu kepada komuniti serta lokasi mempromosikan bahan bacaan serta menambah koleksi bahan bacaan untuk komuniti,” kata Ahli Parlimen Segamat itu.

Sumber: BERNAMA