Posted on: 17/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 meneruskan penjelajahan mereka di sekitar Melaka yang melibatkan jarak kira-kira 151 kilometer (km) bermula di Merlimau di sini semalam.

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata konvoi melibatkan 37 kenderaan dan 89 peserta daripada pelbagai agensi itu, bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang dan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

“Simbolik penyertaan peserta pada konvoi berkenaan adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya elemen komunikasi dalam mendekati dan memahami aspirasi rakyat, selain meningkatkan kesedaran orang ramai untuk turut mengibarkan bendera di rumah atau premis perniagaan masing-masing.

“Kelainan yang dibawa oleh  Melaka pada program ini apabila konvoi dari Johor turut diajak menyertai  aktiviti berjalan kaki Teguh Bersama sebelum upacara menyerahkan baton Jalur Gemilang di hentian pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program KMKM 2022 di Galeri Demang Abdul Ghani di sini yang disempurnakan Pegawai Daerah Jasin Rahizi Ranom.

Shahrom berkata konvoi di negeri itu turut disertai ahli kelab motosikal berkuasa tinggi K-16 BWM dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka.

Katanya selain Galeri Demang Abdul Ghani, dua lagi  hentian konvoi KMKM 2022  adalah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh  dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah sebelum penyerahan baton kepada Negeri Sembilan di Tampin.

“Pengisian program di setiap lokasi melibatkan penyertaan komuniti setempat daripada pelbagai peringkat usia  untuk  menunjukkan rasa cinta mereka kepada negara, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Melaka adalah lokasi sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang juga tema Hari Kebangsaan 2022.

Sumber: BERNAMA