Posted on: 19/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Program Kepenggunaan Bijak Membeli, Menang Memakai (B3M) mampu  mendidik pengguna supaya  tidak mudah terpedaya dengan penipuan sekali gus mempunyai kesedaran kepenggunaan yang tinggi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  Perlis  Mohamad Amir Abdullah berkata program tersebut juga memberi panduan kepada  pengguna cara membuat aduan kepada kementerian.

“Ramai pengguna  mengeluh mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat. Isu  kenaikan harga barang  dan kesukaran  untuk mendapatkan bekalan barang keperluan harian di sesetengah kawasan turut meresahkan mereka,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program berkenaan di sini semalam.

Turut hadir, Penasihat Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia Dr Faridah Hassan, Timbalan Pengarah FELDA Wilayah Alor Setar Mohd Rohanas Mohd Nor dan Penolong Pegawai Undang-Undang Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia KPDNHEP Siti Sarah Shamsuddin.

Mohamad Amir berkata pihaknya berharap pengguna berbelanja dengan bijak sekali gus menyokong pemulihan semula ekonomi negara.

Beliau berkata pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan hak mereka, manakala peniaga pula mesti mematuhi peraturan serta mengamalkan etika perniagaan.

“Pengguna juga dinasihatkan agar membuat perancangan  ketika membeli  barang dapur  dengan menyediakan senarai  barangan yang hendak dibeli bagi mengatur perbelanjaan dengan bijak,” katanya.

Sumber: BERNAMA