Posted on: 19/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kolaborasi antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB) bakal mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan dalam bidang telekomunikasi melalui Program Kerjaya JENDELA YEPB.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kerjasama  strategik itu  juga bertujuan melatih lebih ramai tenaga kerja mahir menerusi pensijilan kepada kontraktor bumiputera yang dilantik untuk kerja-kerja ‘fiberisation’ di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“YEPB melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) jadi penyelaras kepada projek fiber optik, antaranya kita melatih tenaga kerja mahir secara berperingkat dalam bidang telekomunikasi serta gentian optik.

“Di samping itu ada juga program vendor di bawah TM, memberi projek kepada syarikat bumiputera berkaitan gentian optik untuk jalankan kerja-kerja di bawah JENDELA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TM dengan YEPB dan Perjanjian Kerjasama antara YEPB dengan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd semalam.

Mengulas lanjut, Zahidi yang juga Pengerusi YEPB berkata menerusi Program Kerjaya JENDELA, yayasan itu telah menyelaras Kursus Pensijilan Kecekapan Tenaga Kerja Gentian Optik dan antara kursus yang diadakan termasuk Kursus Pemasangan Gentian Optik CA2C dan CA1C serta Sijil Kecekapan dan Keselamatan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

Beliau turut berharap Digital Nasional Berhad (DNB) dapat melakukan perkara sama seperti TM dengan menyediakan program vendor kepada syarikat bumiputera dalam pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

Katanya dianggar lebih 400 hingga 500 peluang pekerjaan dapat ditawarkan menerusi program dengan DNB sekiranya pihak tersebut berminat untuk bekerjasama dengan K-KOMM.

Terdahulu, MoU antara TM dan YEPB telah ditandatangani Naib Presiden Pelaksanaan dan Operasi Rangkaian dan Teknologi Kumpulan TM Ansahari Abdul Kudus dan Ketua Pegawai Eksekutif YEPB Aweena Mohd Arshad.

Perjanjian Kerjasama antara YEPB dengan Ikhtiar Factoring Sdn Bhd pula telah ditandatangani oleh Aweena dan Pengarah Operasi Kredit Ikhtiar Factoring Sdn Bhd Khalaif Noor Roslizam.

Sumber: BERNAMA