Posted on: 22/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya menyelesaikan kes rawatan tertunggak bukan COVID-19 di hospital kerajaan di seluruh negara sebanyak 92 peratus setakat ini daripada jumlah 57,355 kes dilaporkan pada September 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kementerian kini dalam usaha untuk menyelesaikan baki 4,833 kes rawatan yang tertunggak itu dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata penyelesaian kes tertunggak itu disumbangkan oleh beberapa inisiatif KKM termasuk penyumberluaran pesakit hospital kerajaan ke hospital swasta.

“Sebab itu kita melakukan penyumberluaran ke hospital swasta. Kalau kita tengok hospital awam penuh dan hospital swasta kosong, jadi pesakit bukan COVID-19 kita hantar kepada hospital swasta.

“Alhamdulillah, setelah kita melaksanakan langkah tersebut, pada September dan Oktober 2021, keadaan semakin baik dan kes semakin menurun,” katanya pada Simposium Keluarga Malaysia bertajuk ‘Keluarga Malaysia Menangani Cabaran Kesihatan’, di sini, semalam.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan sejumlah 4,053 Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi telah berjaya ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setakat minggu lepas.

Katanya, jumlah perlantikan itu merupakan urusan pengambilan jawatan tetap terbesar pernah dilaksanakan sejak 2016.

Sumber: BERNAMA