Posted on: 22/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan akan memperkasakan ekonomi digital luar bandar menerusi Bajet 2023 yang bakal dibentang pada Oktober depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata ia berikutan pendapatan menerusi e-dagang telah meningkat 7.7 peratus pada suku kedua tahun ini membabitkan nilai RM288.2 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas yang hanya RM267.2 bilion.

Katanya susulan itu juga pihaknya turut menjangkakan prospek membabitkan ekonomi digital pada tahun 2023 akan meningkat sekali gus menguatkan lagi hasrat kerajaan untuk memastikan pendigitalan juga berlaku di luar bandar.

“Kalau kita lihat, pasaran e-dagang ini berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Oleh itu, kita akan melihat keperluan menerusi Bajet 2023 bagi memperkasakan teknologi digital luar bandar.

“Malah dengan perkembangan semasa mengenai e-dagang setakat ini kita boleh merumuskan bahawa negara berada di landasan yang betul untuk memiliki saiz pasaran e-dagang sebanyak RM1.65 trilion menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadok di Sekolah Kebangsaan (SK) Kadok, Ketereh di sini semalam, yang turut dihadiri oleh Guru Besar SK Kadok Roynun Setapa.

Mengulas lanjut  Mohd Shahar berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah merekodkan jumlah pendapatan transaksi e-dagang pada 2021 sebanyak RM1.09 trilion.

Katanya jumlah itu meningkat sebanyak 21.8 peratus berbanding RM896.4 bilion pada tahun 2020 sekali gus menjadikan buat kali pertama pendapatan daripada urus niaga e-dagang mencecah paras RM1 trilion.

Sementara itu Mohd Shahar berkata pihaknya turut menjangka negara bakal berdepan dengan sedikit cabaran ekonomi pada tahun depan.

“Oleh itu, Bajet 2023 juga akan melihat subsidi kepenggunaan dan langkah-langkah drastik yang boleh dilakukan untuk memulihkan ekonomi supaya pada tahun depan kita mempunyai ruang yang cukup untuk memastikan kebajikan dan kesihatan rakyat terjamin.

Sumber: BERNAMA