Posted on: 23/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Motif dan elemen kereta api, bunga raya serta mercu tanda negara menjadi inspirasi kepada koleksi tudung terbaharu sebuah jenama tempatan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 yang bakal disambut 31 Ogos ini.  

Pengarah Kreatif SofeaRose Farrah Aina Sofian Sauri berkata kolaborasi bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu menawarkan 18 warna untuk rangkaian selendang dan tudung bawal (empat segi) serta aksesori seperti bag dan lanyard. 

“Kami memilih elemen kereta api kerana sinonim dengan ciri klasik berlatarkan tahun 1950-an sekali gus mampu menggamit memori era prakemerdekaan, selain bagi menghargai jasa KTMB sebagai pengangkutan awam pertama. 

“Kami sangat teruja dan bangga dengan kerjasama ini yang sedikit sebanyak ini adalah sumbangan kecil kami dalam memeriahkan Bulan Kebangsaan,” katanya kepada Bernama.

Koleksi hijab dan aksesori diberi nama ‘The Nirmala Series SofeaRose x KTMB’ boleh didapati di laman sesawang jenama tersebut bermula semalam pada harga RM17.90 hingga RM 289.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Rani Hisham Samsudin berkata kolaborasi itu merupakan yang pertama dengan jenama fesyen berkenaan.

“Kami ada membantu memberi bimbingan dari segi menerapkan identiti dan berkaitan dengan  kereta api seperti logo, gambar stesen dan sebagainya,” katanya sambil menambah KTMB bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak daripada pelbagai bidang.

Sumber: BERNAMA