
Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenal pendekatan baharu yang merangkumi konsep ‘Keselamatan Menyeluruh’ atau ‘Comprehensive Security’ (COMSEC) dalam usaha meningkatkan lagi keselamatan Malaysia.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad berkata ia satu doktrin baharu yang membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.
“Konsep keselamatan menyeluruh ini kita bawa selepas kita lihat keselamatan bukan lagi boleh dilihat dari aspek berkaitan polis dan askar semata-mata. Ia sebenarnya luas… bila berlaku pandemik COVID-19, ia mengancam keselamatan kita tetapi sudah tentu tidak berkait dengan ketenteraan atau kedaulatan. Itu ancaman kesihatan.
“Begitu juga kalau kita lihat isu bekalan ayam, isu minyak masak, ini keselamatan makanan. Rakyat jadi tertekan dan gelisah sebab bimbang bekalan ayam tak cukup… di setiap rumah rakyat Malaysia kena ada ada ayam, kebanyakan anak-anak sekarang nak ayam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Literasi Dasar Keselamatan Negara 2021-2025: Wacana Pembentukan Minda Keselamatan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Rodzi berkata ketika ini, pelaksanaan konsep keselamatan itu berada pada fasa permulaan yang melibatkan sesi penerangan kepada agensi kerajaan di negeri-negeri untuk memberikan kefahaman kepada pihak yang berkenaan melalui program turun padang seperti program literasi dasar semalam.
“Kita kena jelaskan kepada setiap golongan rakyat, ini kita mulakan dengan agensi kerajaan dahulu… ini adalah program turun padang yang kita buat untuk perjelaskan kepada agensi kerajaan di peringkat negeri kemudian di universiti, kemudian kita ada pemimpin masyarakat, belia dan pertubuhan bukan kerajaan. Kita adakan secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata konsep itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2023 oleh pihak kementerian mengikut teras masing-masing yang akan dipantau MKN melalui satu jawatankuasa bagi melihat perubahan tingkah laku masyarakat.
“Kita ada falsafah dan teras… jadi kementerian lihat tanggungjawab kementerian ini dalam teras mana. Kalau Kementerian Pertanian (dan Industri Makanan), ia dalam teras keselamatan insan sebab ada komponen keselamatan makanan di situ.
“Jadi, Kementerian Pertanian akan laporkan balik program yang mereka lakukan kepada kita, kita akan lihat dan bincang semula dengan Kementerian Pertanian sekiranya perlu buat penyesuaian. Begitu juga dengan kementerian lain,” katanya.
Sumber: BERNAMA