Posted on: 30/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menganggarkan tiap seorang daripada 20 kanak-kanak berumur lima hingga sembilan tahun di Malaysia mengalami gangguan mental, termasuk gangguan dari segi perkembangannya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Laporan dan Infografik Negara Malaysia: Memperkukuh Sistem dan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS) untuk Kanak-kanak dan Remaja di Rantau Asia Timur dan Pasifik  di sini semalam, beliau berkata tinjauan itu juga mendapati tiap seorang daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun mengalami gangguan mental.

Katanya NHMS juga mendapati kira-kira 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental, tetapi ramai yang tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

“Di Malaysia, kanak-kanak dan remaja mengalami beban kesihatan mental yang teruk,” katanya dan menambah antara faktor risiko adalah kesihatan mental yang lemah, pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesunyian dan pengasingan sosial amat berleluasa.

Mengenai MHPSS, Dr Noor Azmi berkata laporan itu menekankan  jurang kritikal dalam tindak balas dan cabaran semasa pelaksanaan MHPSS dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,  termasuk kesukaran atau akses terhad kepada perkhidmatan bagi menangani masalah kesihatan mental,  kekurangan pemerkasaan undang-undang dan dasar sedia ada, kelemahan dalam komunikasi dan penyelarasan antara sektor, serta pembiayaan yang tidak mencukupi.

Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan juga komited untuk menterjemahkan penemuan penyelidikan MHPSS kepada dasar dan amalan.

Sumber: BERNAMA