Posted on: 03/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia untuk  pelajar golongan B40 mendapat sambutan  menggalakkan dengan 90,000 permohonan pada fasa pertama dan kini mencecah 56,000 permohonan bagi fasa kedua.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Ma Sivanesan berkata permohonan akan terus dibuka sehingga kerajaan mencapai sasaran pengagihan 350,000 peranti tablet.

“Buat masa ini kita tetapkan 30 Sept tarikh akhir fasa kedua namun proses ini (akan digunakan) untuk membuat saringan dan penapisan.

“Ia membabitkan jenama premium Samsung dengan ciri-ciri tertentu termasuk (pen) stylus, papan kekunci dan mempunyai memori 4GB dan storan sebanyak 64GB,” katanya semasa program Apa Khabar Malaysia kelolaan BernamaTV serta Bernama Radio semalam.

Beliau berkata bilangan permohonan meningkat pada fasa kedua kerana K-KOMM memperluas permohonan kepada pelajar tingkatan 6, matrikulasi, asasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). 

Pelancaran PerantiSiswa akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 2.30 petang hari ini.

Selain itu, Sivanesan berkata pengagihan fasa pertama PerantiSiswa akan dibuat secara berperingkat bulan ini di lima zon di seluruh negara melibatkan 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), manakala pengagihan fasa kedua pada November ini.

Beliau berkata penerima diminta menggunakan sebaik-baiknya peranti itu dan dikembalikan setelah cukup tempoh pinjaman.

Katanya, Program Remaja Keluarga Malaysia yang merangkumi pakej data Internet mampu milik berharga lebih kurang RM20 boleh menjadi padanan kepada PerantiSiswa.

Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap akan ada pengumuman positif pada pembentangan Belanjawan 2023 Oktober ini  supaya program tersebut menjadi program yang berterusan.

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia diumumkan pada Belanjawan tahun lepas yang menyasarkan mahasiswa IPT dari golongan B40, susulan pembelajaran secara dalam talian menjadi kebiasaan ketika pandemik COVID-19. 

Sumber: BERNAMA