Posted on: 03/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan akan memastikan pelaksanaan 5G di Malaysia berjalan mengikut rancangan walaupun dua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mengambil keputusan untuk tidak mengambil kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata susulan penarikan dua syarikat tersebut rundingan dengan empat lagi MNO akan diteruskan dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi kerana akan membabitkan pengubahsuaian dalam dokumen perjanjian yang akan ditandatangani. 

“Dua MNO buat keputusan untuk tidak menyertai maka kita tidak memaksa (mereka), dan kita akan teruskan dengan yang setuju yang iaitu empat syarikat telco cuma ia sedikit menjejaskan proses menandatangani perjanjian kerana dalam dokumen kerajaan dan Kabinet memutuskan majoriti adalalah pihak swasta sedangkan empat syarikat tadi tidak cukup 50 peratus (pegangan),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia@De Dagang di sini hari ini.

“Setiap syarikat juga kena kembali kepada Lembaga Pengarah kerana mereka bagi kelulusan berdasarkan lebih 11 peratus langganan, jadi kalau kita tawarkan lebih sampai 15 hingga 16 peratus mereka kena balik semua kepada Lembaga Pengarah, tak boleh jawab ya terus. Jadi kita terpaksa bagi masa,” katanya.

Dalam masa yang sama katanya sebagaimana yang disebut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tawaran turut terbuka kepada pemain industri lain yang berminat memperoleh kepentingan di DNB. 

“Yang penting ialah pelaksanaan (roll-out) 5G mesti kekal lancar bagi memenuhi keutamaan untuk mencapai 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024.

Annuar berkata jika perkara tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini, syarikat-syarikat yang terkait boleh menawarkan perkhidmatan 5G bagi kawasan yang telah siap prasarananya tanpa perlu bertangguh. 

“Kementerian kekalkan garis masa perancangan sedia ada yakni roll-out seboleh-bolehnya pada bulan ini, walaupun kemungkinan rundingan kalau sampai akhir September, maka awal Oktober kena ada roll-out.

“Saya tidak mahu bertangguh dan tidak mahu kerana satu dua syarikat mengubah pendirian rancangan kerajaan nak roll-out 5G tergendala, jadi kita perlu berjalan dengan lancar,” katanya. 

Difahamkan, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd tidak bercadang untuk mengambil kepentingan dalam DNB. Empat MNO iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi.com Bhd, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) masih tetap dengan keputusan masing-masing untuk melanggan saham DNB.

Mengenai isu kerugian yang direkodkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM700,000 ekoran pokok hiasan yang rosak pada sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu, Annuar berkata perkara itu terjadi berikutan bilangan pengunjung luar biasa membanjiri Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut bagi menyaksikan perarakan tersebut.

“Cuma untuk panduan masa akan datang, bila ada program beramai-ramai, kita semua ambil tanggungjawab, kita jaga. Harta kerajaan tu harta kitalah,” katanya.”

Sumber: BERNAMA