Posted on: 06/10/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

HSBC Global Research mengunjurkan beberapa tahap pengukuhan fiskal dalam Bajet 2023 Malaysia, dengan kemungkinan defisit lebih rendah pada 4.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Ahli Ekonomi, Yun Liu berkata bagaimanapun angka itu masih lebih tinggi berbanding purata 3.3 peratus yang dicatatkan pada 2015 hingga 2019 selain kekal jauh daripada matlamat defisit fiskal yang ingin dicapai kerajaan iaitu sebanyak 3.5 peratus daripada KDNK pada 2025.

“Selepas tiga tahun berturut-turut merekodkan defisit fiskal yang besar, beberapa bentuk pengukuhan fiskal dilihat menjadi keutamaan.

“Bajet 2023 mungkin menjadi tugas yang rumit, di antara proses teliti bagi menetapkan pelan pengukuhan fiskal dengan kemungkinan menjadi bajet pilihan raya,” katanya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Bajet 2023 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat ini.

Yun berkata dari segi hasil, hasil cukai Malaysia telah berkurangan sejak beberapa tahun disebabkan pembatalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada pertengahan 2018, yang menyumbang kira-kira 20 peratus kepada  hasil, dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (kira-kira 10 hingga 15 peratus kepada hasil).

Beliau memetik kenyataan Tengku Zafrul sebelum ini bahawa kerajaan sedang mengkaji semua pilihan cukai.

Ini menunjukkan bahawa pengenalan mana-mana cukai baharu akan mengambil masa yang lama untuk melalui semua prosedur berkaitan sekali gus menimbulkan keraguan sama ada GST boleh dilaksanakan semula atau sebaliknya tidak lama lagi, katanya.

“Jika Bajet 2023 sememangnya bajet pilihan raya maka, sukar untuk memperkenalkan pembaharuan cukai yang besar,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan data hasil dan perbelanjaan sepanjang separuh pertama 2022, Malaysia dijangka mencapai satu lagi defisit fiskal sebanyak 6.0 peratus daripada KDNK tahun ini.

Sebagai antara sebilangan kecil penerima manfaat daripada kitaran meningkat  komoditi global, Malaysia berada dalam kedudukan bertuah kerana mampu menyediakan subsidi terbesar dalam sejarahnya, berjumlah RM77.3 bilion atau 4.3 peratus daripada KDNK.

“Ini disediakan dalam bentuk subsidi bahan api, bantuan tunai dan bantuan makanan. Jelas, pendekatan ini telah memastikan inflasi Malaysia kekal di bawah paras inflasi serantau, walaupun inflasi teras meningkat ketara.

“Disokong oleh pertumbuhan yang dijangkakan lebih tinggi berbanding jangkaan serta penggandaan dividen oleh Petronas, Malaysia diunjurkan mengekalkan defisit pada 6.0 peratus tahun ini, walaupun beberapa bentuk penguntukan dan pengutamaan semula perbelanjaan nampaknya mungkin dilaksanakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA