
Perkongsian Awam-Swasta (PPP) menjadi penentu bagi memastikan kesediaan Malaysia membina asas negara digital sekali gus mendepani landskap yang sentiasa berubah, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata perkongsian itu juga penting bagi ekosistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negara untuk terus berkembang.
“Sebab itu sumbangan syarikat seperti Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) sangat mustahak. Sejak dua dekad terakhir ini, saya percaya Huawei Malaysia telah melaksanakan misinya untuk memajukan peluang perniagaan bagi perusahaan tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pembekal tahunan Huawei di sini semalam.
Zahidi berkata negara memerlukan syarikat seperti Huawei yang kehadirannya di Malaysia sejak 2001 telah membantu memperkasakan usaha pendigitalan industri telekomunikasi; industri sokongan; kerajaan; perusahaan kecil dan sederhana serta masyarakat.
Beliau juga memuji Huawei sebagai antara pihak bekepentingan yang menyahut seruan kerajaan bagi kemajuan ke arah Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan membantu dalam transformasi digital negara melalui kerjasama secara aktif dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perusahaan tempatan.
Sementara itu, Zahidi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sentiasa memantau pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan proses pendigitalan negara adalah inklusif.
Menurutnya JENDELA akan merealisasikan aspirasi negara untuk memberi capaian gigabit ke sembilan juta premis, kelajuan jalur lebar mudah alih 100Mbps dan menyediakan 100 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk menjelang 2025.
“JENDELA merupakan pelan lima tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memacu pembangunan infrastruktur digital negara sekali gus merapatkan jurang digital, memberikan perkhidmatan telekomuniasi berkualiti dan inklusif kepada rakyat, selain mempersiapkan negara bagi rangkaian generasi kelima (5G),” katanya.
Zahidi berkata dengan perkhidmatan 5G kekal sebagai penggerak utama ekonomi digital Malaysia, pelancaran dan ketersediaan komersial 5G di bawah inisiatif JENDELA telah berjaya dicapai lebih awal iaitu daripada jangkaan 2023 kepada 2021.
Beliau turut menegaskan adalah menjadi tugas penting MCMC untuk menggalakkan proses kawal selia yang telus bagi memudahkan pengendalian antara rangkaian, persaingan yang adil dan kecekapan dalam industri, selain memastikan pengguna menikmati pilihan serta tahap perkhidmatan yang memuaskan pada harga berpatutan.
Pelancaran 5G menyasarkan 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang 2024 dengan kelajuan minimum 100Mbps.
Sumber: BERNAMA