
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan yang dipimpinnya sejak 21 Ogos 2021 sentiasa mencari kebersamaan dan kesepakatan, dan bukannya perbezaan atau perpecahan.
Dalam perutusan khas sempena pembubaran Parlimen ke-14 semalam, Ismail Sabri berkata semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan dalam pentadbirannya berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diterjemahkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, antara kerajaan dan pembangkang.
“Berkat kesepakatan ini, kerajaan telah berjaya melaksanakan beberapa transformasi yang signifikan,” kata beliau.
Antara transformasi itu ialah pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Anti Gangguan Seksual.
Dalam perutusan itu, Ismail Sabri berkata Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara kerana buat julang kalinya berlaku pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama.
“Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi. Begitupun, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa mereka ke meja rundingan, bagi meredakan keadaan,” kata beliau.
Ismail Sabri berkata meskipun acapkali diasak pelbagai cabaran, tohmahan serta fitnah, kerajaan pimpinannya andal menghadapi dugaan dan kesengsaraan, dalam perjuangan membawa negara ke landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi demi memulihkan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia dan kemakmuran negara.
“Kerajaan ini bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan yang teliti dalam semua perihal.
“Ketika negara berhadapan krisis kesihatan misalnya, kerajaan meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia di atas segala-galanya,” kata beliau yang mengambil alih pentadbiran ketika negara bergelut dengan COVID-19.
Beliau berkata Malaysia melangkah memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022, yang membolehkan pembukaan semula sempadan negara selepas lebih dua tahun ditutup dan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang terbaik di Asia Tenggara dalam mendepani cabaran COVID-19.
Pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal 2020 telah mengakibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 5.5 peratus, namun kerajaan dengan langkah-langkah responsif dan proaktif telah berjaya membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi, katanya.
Terbaharu, kata beliau Bank Dunia menyemak semula unjuran KDNK negara bagi 2022 kepada 6.4 peratus, berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada Mac lepas.
Ismail Sabri turut bersyukur Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara, dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada 2008.
Beliau berkata dalam tempoh hanya setahun, kerajaan Keluarga Malaysia berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran turun untuk 12 bulan berturut-turut, iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022 berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga meningkat dengan ketara dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, Malaysia mendapat RM47.4 bilion berbanding sepanjang tahun lepas dengan hanya memperolehi RM48.1 bilion.
Jumlah perdagangan negara juga meningkat sebanyak 33.1 peratus kepada RM1.87 trilion bagi tempoh Januari–Ogos 2022, berbanding RM1.41 trilion pada tahun sebelum ini.
“Keyakinan dan minat pelabur terhadap Malaysia tidak meningkat secara tiba-tiba, sebaliknya didorong langkah proaktif kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur,” kata Ismail Sabri.
Naib Presiden UMNO itu turut menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu, atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Ke-9 dalam keadaan negara yang sangat mencabar tatkala itu.
Beliau turut menzahirkan setingi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokongnya selama ini dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.
Sumber: BERNAMA