Posted on: 11/10/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 7,124 pegawai dan anggota polis kontinjen Perak ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata pihaknya sudah melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi penugasan PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Saya percaya kita dapat mengawal dan memastikan pilihan raya umum berjalan dengan baik dan teratur serta mengikut peraturan-peraturan yang akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kita juga akan memastikan orang ramai terutamanya pengundi-pengundi dapat keluar (pada hari pengundian) dalam keadaan yang baik dengan keselamatan yang terjamin supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kerian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian DSP Hudri Mohd Arshad akan memangku jawatan itu apabila Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat bersara wajib.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata pihaknya juga dalam keadaan sedia untuk menggerakkan pelbagai aset bagi membantu agensi kerajaan yang lain menghadapi banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut.

“Pelbagai aset seperti bot menyelamat dan alat bantuan menyelamat yang lain seperti jaket keselamatan semua berada dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan disebabkan Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.

Sumber: BERNAMA