Posted on: 13/10/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Platform media sosial akan digunakan sepenuhnya sebagai jambatan mempromosikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Melaka yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 Oktober ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC). 

Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Malaysia Negeri Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata ini termasuklah menggunakan kumpulan WhatsApp memandangkan aplikasi itu cara paling praktikal dan mesra masyarakat dalam penyampaian maklumat. 

“Bermula semalam, Japen Melaka telah menggerakkan semua platform media sosialnya termasuk kumpulan WhatsApp yang akan melibatkan rakan strategik Japen termasuk 84 komuniti Keluarga Malaysia yang ada di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Menara Persekutuan.

Beliau berkata menerusi kaedah berkenaan, setiap lapisan masyarakat akan mendapat maklumat mengenai JAKM dan kumpulan WhatsApp itu akan dikendalikan oleh pegawai Japen bagi memastikan semua maklumat tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak. 

Bagi media sosial pula, Shahrom berkata maklumat akan disampaikan melalui pelbagai video pendek dan infografik untuk memudahkan rakyat mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata program Info On Wheels (IOW) JAKM turut dilaksanakan di ketiga-tiga daerah di negeri ini dengan menyasarkan lokasi-lokasi strategik yang telah dikenal pasti seperti kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta tempat tumpuan orang ramai. 

“Objektif kita ialah mahu masyarakat mendapat maklumat mengenai program diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi yang menyertainya,” katanya.

Sumber: BERNAMA