Posted on: 13/10/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Lebih 5,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan pada Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Melaka sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada 14 hingga 16 Oktober ini.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Kementerian Sumber Manusia itu turut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Program bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan menghimpunkan 42 majikan daripada pelbagai sektor yang menawarkan peluang kerjaya kepada orang ramai khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan institut pengajian tinggi (IPT) serta pencari kerja.

“Antara peluang kerja ditawarkan seperti dalam sektor bioteknologi, perkhidmatan, perkilangan, perhotelan, telekomunikasi dan perbankan,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran Jelajah AKM yang turut dihadiri Pengarah PERKESO Melaka Abd Razak Omar di sini semalam.  

Ngwe berkata karnival itu akan turut menyediakan khidmat kaunseling kerjaya dan pendaftaran MYFuturejobs kepada pencari kerja.

“Kerajaan negeri ingin menyeru kepada mana-mana individu yang sedang mencari pekerjaan atau ingin meneroka peluang pekerjaan baharu untuk menghadiri sesi temu duga terbuka yang akan dijalankan dengan secara bersemuka bersama majikan yang mengambil bahagian.

“Kepada mereka yang berminat untuk hadir ke sesi temu duga itu juga dinasihatkan untuk datang awal dan berpakaian kemas serta melayari laman sesawang https://careerfair.perkeso.gov.my/ untuk pendaftaran,” katanya.

Sebarang pertanyaan orang ramai boleh melayari portal MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau hubungi Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau emel ke perkeso@perkeso.gov.my.

Sumber: BERNAMA